‘Model Kerjasama’ Wajar Diteruskan Demi Untuk Capai Matlamat Bersama

AHAD, 30 JANUARI 2022

BINTULU: Penganjuran aktiviti dan program secara bersama bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, tetapi juga dapat menjimatkan kos.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk John Siki Tayai berkata, dengan menerapkan model kerjasama ini akan mencapai matlamat bersama. 

“Saya merasakan perlunya model kerjasama sebegini diteruskan pada masa hadapan sekiranya ada sebarang program dan aktiviti yang mempunyai kebersamaan matlamat dan objektif. 

“Keadaan ini sedikit sebanyak akan dapat menjimatkan masa dan tenaga malahan dapat mengurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Apresiasi Bersama Petugas-Petugas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) bagi DUN Kakus, DUN Belaga, DUN Murum dan DUN Samalaju di Dinner World Bintulu pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus tidak mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibuai dengan kemenangan besar ini sebaliknya kejayaan ini sebagai pencetus semangat untuk bekerja lebih kuat lagi untuk rakyat. 

Kejayaan ini juga boleh harus diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang untuk memastikan GPS terus relevan dalam konteks politik tempatan dan nasional. 

Terdahulu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang juga ADUN Samalaju dalam ucapan aluannya memberitahu kemenangan besar GPS dalam PRN12 Sarawak lepas menunjukkan rakyat di Sarawak mahukan kestabilan politik dan meneruskan agenda pembangunan. 

“Kemenangan besar ini dalam PRN-12 Sarawak sebagai memberi isyarat bahawa rakyat di negeri ini mahukan keadaan politik yang stabil.

“Ini adalah bukti bahawa rakyat amat yakin dengan kepimpinan di bawah naungan GPS yang mempunyai agenda pembangunan dan kepentingan rakyat.

“Kemenangan yang diberikan rakyat akan dibalas dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta kita melaksanakan segala janji dan manifesto GPS,” katanya. 

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon.-EDISI UKAS

add comment