AHAD, 30 JANUARI 2022
MIRI: Jawatankuasa Adet Kawin Melanau Miri di bawah naungan Persatuan Melanau Miri bercadang merangka pelan tindakan untuk melaksanakan galeri Adet Kawin Melanau.
Menurut Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ianya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat umum dan masyarakat Melanau di Miri dan sekitarnya bahawa telah wujud budaya Kaum Melanau tersendiri contohnya Adet Perkahwinan Melanau Bangsa Sembilan (9) Pikul/Adet perkahwinan 7 Pikul dan 5 Pikul (7 Petiris).
“Semuanya ini akan dipamerkan di dalam galeri ini mengikut susunan adet mengikut zon. Manakala, satu sudut khas telah sediakan di dalam Bangunan Persatuan Melanau, Miri bagi tujuan tersebut,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Perasmian Bengkel Adet Melanau anjuran Majlis Adat Istiadat Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Adet Melanau Kawasan Miri di Wisma Melanau Miri pada Jumaat.
Ini merupakan kali ketiga bengkel seumpamanya diadakan dengan kali pertama pada tahun 2017 dan kedua pada tahun 2019.
Mengulas mengenai bengkel ini, Lukanisman berkata objektifnya bertujuan mendapat maklum balas perihal Adat Melanau yang akan dikumpul oleh Majlis Adat Istiadat Sarawak dengan Masyarakat Melanau di Miri.
“Ini termasuk juga berkongsi maklumat mengenai Native Marriage Electionic System (NAMES), menyebarluas, mendedahkan dan mempraktikan amalan pertunangan dan perkahwinan adat Melanau, menarik minat golongan belia mendalami adat Melanau serta diwarisi secara turun temurun,” ujarnya.
Turut sama hadir Penasihat 1, Persatuan Melanau Miri merangkap Penasihat Jawatankuasa Adet Kawin Persatuan Melanau Miri Dato Alexander Maiyor, Ketua Seksyen, Seksyen Penyelidikan Etnik Melanau Sarawak (MAIS) Dr. Anthony Valentine Laiseh, Temenggong Bahagian Miri Dato Abdul Rahman Fadzil dan Pemanca Bahagian Miri Abang Mohamad Dato Sri Othman. -EDISI UKAS