RTC Sampat Akan Dinaik Taraf Sebagai Hab Digital Mini

AHAD, 30 JANUARI 2022

SEBUYAU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sampat di sini akan dinaik taraf sebagai satu Hab Digital Mini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, ke arah itu, pihaknya sedang meneliti pelbagai usaha untuk menaik taraf pusat tersebut.

Menurutnya, ini adalah kerana pusat berkenaan berada di kawasan strategik serta bersebelahan dengan Pusat Penjaja dan Pusat Pengumpulan Mini.

“Kita ingin melihat kemungkinan untuk menaik taraf RTC Sampat sebagai kawasan yang dilengkapi dengan kemudahan sekali gus boleh menyediakan Hab Digital Mini.

“Saya juga minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedaia (SKMM), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk meneliti bagaimana kita dapat menyediakan perkhidmatan khususnya dari segi penyambungan perkhidmatan WiFi dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan liputan telekomunikasi bersama SDEC, SMA dan SKMM di RTC Sampat, Sebuyau pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, beliau juga meminta nasihat daripada semua agensi yang berkaitan kerana RTC berkenaan juga bakal menjadi kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk masyarakat yang menggunakan jalan pesisir.

“Selain itu, ia juga boleh digunakan oleh penduduk tempatan sama ada golongan belia mahupun mereka yang ingin mengembangkan aktiviti industri kecil dan sederhana termasuk menyediakan perkhidmatan e-dagang serta lain-lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Datuk Julaihi memaklumkan beliau juga meminta SDEC), SMA dan SKMM untuk membuat kajian terperinci supaya perkara tersebut dapat dilaksanakan.

“Perkara ini juga penting kerana lokasi RTC Sampat betul-betul berada di laluan jalan pesisir sebab ramai orang lalu di kawasan ini, bahkan juga seluruh Sarawak menggunakannya,” tegas beliau lagi.

Beliau memaklumkan setakat ini hanya RTC Sampat sahaja yang dikenal pasti untuk pembinaan R&R kerana ia merangkumi Pusat Penjaja dan Pusat Pengumpulan Mini.-EDISI UKAS

add comment