AHAD, 30 JANUARI 2022
MIRI: Walaupun sambutan Tahun Baru Cina tahun ini dibenarkan, orang ramai khususnya masyarakat Cina digesa untuk terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini penting dalam memastikan tiada kluster Tahun Baru Cina dan perayaan ini dapat diraikan dengan penuh kegembiraan.
“Teruskan mematuhi SOP Tahun Baru Cina demi keselamatan bersama,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan buah limau mandarin sempena Tahun Baru Cina di Tamu Pujut Corner dan Terminal Bus Pujut Corner, Miri pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung supaya berhati-hati di jalan raya.
“Kepada mereka yang memandu untuk pulang ke kampung dalam merayakan Tahun Baru Cina ini, pandulah dengan berhati-hati.
“Bagi yang memandu jauh, berhenti setiap dua atau 3 jam untuk berehat atau bergilir-gilir memandu sekiranya anda mempunyai orang lain di dalam kereta yang boleh memandu. Disebabkan keletihan boleh menimbulkan rasa mengantuk dan menyebabkan kemalangan.
“Jangan sekali-kali mengambil minuman beralkohol semasa memandu,” ujarnya.
Hadir sama Datuk bandaraya Miri yang juga Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS