ISNIN, 31 JANUARI 2022
BINTULU: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bercadang membina baru Tempat Transit Gelandangan (TTG) dan Community Sosial Support Centre (CSSC) Bintulu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kedua-dua fasiliti itu akan dibina di atas tapak Rumah Tumpangan BDA sebelah Jambatan Sebiew di Jalan Sebiew yang sedia ada.
“Dari segi lokasinya sudah ada, tempatnya sudah ada dan kebenaran dari BDA juga sudah ada. Alhamdulillah,” katanya dalam sidang media Pembentangan Reka Bentuk Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bintulu di Lapangan Terbang Bintulu pada Ahad.
TTG Bintulu berfungsi sebagai tempat persinggahan sementara untuk gelandangan dan CSSC Bintulu pula sebagai sebuah pusat transformasi sokongan sosial dan rujukan intervensi bersepadu dalam komuniti.

Terdahulu, beliau telah diberikan taklimat berkenaan rekabentuk dan konsep TTG Bintulu dan CSSC Bintulu oleh artket Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wong Soon Fook.
Jelas Dato Sri Fatimah lagi, KPWK juga mengambil keputusan membina baru kedua-dua fasiliti itu berbanding menaik taraf.
“Daripada naik taraf, bagus kita bina baru dengan kosnya hampir sama.
“Tetapi, kalau kita bina baru, kita boleh beri imej baru kepada tempat tersebut,” jelasnya.
Ujarnya lagi, selepas ini, BDA akan melaksanakan proses perolehan bagi projek tersebut, manakala Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Majlis Pembangunan Sosial di KPWK pula akan menyelaras penubuhan dan pengurusan pusat-pusat tersebut dengan tempoh pembinaan adalah selama satu tahun.
Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Phang, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak Noriah Ahmad dan Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah.-EDISI UKAS