Kerajaan Sarawak Bersifat Inklusif, Tiada Kaum Tersisih Kecapi Nikmat Pembangunan

ISNIN, 31 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan sebuah kerajaan yang bersifat inklusif dalam usaha memastikan tiada kaum tersisih untuk menikmati pembangunan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, beliau merakamkan setinggi penghargaan atas sokongan padu setiap rakyat terutamanya kaum Cina yang telah memberikan mandat kepada GPS untuk terus memimpin Sarawak.

“Sebagai ketua Kerajaan GPS, saya berterima kasih kepada rakyat kerana mengembalikan mandat kepada GPS sebagai kerajaan yang mentadbir negeri untuk lima tahun akan datang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada rakan-rakan Cina kita yang telah menunjukkan keyakinan yang luar biasa terhadap pentadbiran GPS dan janji saya bagi penglibatan orang Cina dalam kerajaan bukanlah janji kosong seperti yang dibuktikan dengan pelantikan Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina 2022 pada Isnin.

Ketua Menteri menambah, kerajaan GPS berjaya membuktikan kepada rakyat dengan membentuk kerajaan yang berwibawa dengan dasar pembangunan sosial dan ekonomi yang mantap.

Tambahnya, beliau akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan rakyat seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto dan kekal di landasan untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Jelas Ketua Menteri lagi, meskipun Sarawak telah memasuki ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, rakyat Sarawak dinasihatkan untuk kekal waspada bagi mengelakkan lonjakan kes COVID-19 terutamanya ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

“Walaupun suasana masih tidak mengizinkan disebabkan oleh pandemik COVID-19, saya amat berharap tradisi menyambut tahun baharu 2022, iaitu Tahun Harimau mengikut kepercayaan kaum Cina tetap mempunyai signifikannya mengikut tradisi kaum Cina sejak turun temurun.

“Saya amat berharap semua terus bergembira di samping ahli-ahli keluarga terdekat, khususnya mereka yang lama sudah tidak kembali ke pangkuan keluarga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikenakan dua tahun kebelakangan ini.

“Semoga Tahun Harimau membawa kemakmuran, kekuatan dalam perpaduan, kesihatan yang baik dan keberanian untuk mengharungi sebarang kesulitan ketika pandemik,” katanya lagi. -EDISI UKAS

add comment