ISNIN, 31 JANUARI 2022
LAWAS: Orang ramai di daerah Lawas mengalu-alukan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diteruskan bagi tempoh sebulan sekali.
Menerusi PJKM ini membolehkan golongan sasar dapat membeli barangan keperluan harian pada harga murah daripada harga pasaran sekaligus mengurangkan beban mereka.
Di daerah Lawas, barangan keperluan banyak bergantung dari luar daerah untuk memenuhi permintaan penduduk dengan ketika ini kebanyakannya datang dari Sabah selepas tempahan barangan dari Miri tidak dapat dilakukan kerana melalui negara Brunei.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong telah merasmikan PJKM di Taman Awam Lawas pada Sabtu.
Beliau yang diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak serta pegawai dan kakitangan telah melawat jualan barangan keperluan dan beberapa buah gerai jualan yang menjual barang makanan kering dan basah.
PJKM diadakan selama dua hari yang bertujuan mengurangkan beban penduduk dalam membeli barangan keperluan harian yang meningkat di pasaran.
Pada majlis itu juga, Dato Henry telah menyerahkan sijil penghargaan kepada setiap peserta yang mengambil bahagian dalam PJKM ini.
Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Amir Omar, wakil Pengarah KPDNHEP Sarawak Robinson Emerson Empurai, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Dili, Pegawai Bahagian KPDNHEP Bahagian Limbang Punama, Ketua Cawangan KPDNHEP Lawas Dominic dan Penolong Pegawai Daerah Lawas Joseph Ganang Surang.-EDISI UKAS