RABU, 2 FEBRUARI 2022
MIRI: Kerjasama rakyat Sarawak berdepan dengan krisis pandemik COVID-19 banyak membantu negeri ini menangani wabak berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ini jelas terbukti apabila jumlah kematian di Sarawak adalah rendah berbanding negeri lain dan jumlah vaksinasi juga terus menunjukkan peningkatan.
“Dua tahun lepas, pandemik COVID-19 telah menyebabkan kemusnahan dan kesukaran yang besar kepada semua orang.
“Terima kasih atas pemahaman dan kerjasama anda, angka kematian di Sarawak hari ini rendah berbanding dengan jumlah di seluruh negara.
“Kita juga mencatatkan jumlah vaksinasi COVID-19 yang tertinggi dari segi vaksinasi dos pertama, dos kedua dan dos penggalak.
“Ini adalah disebabkan semangat perpaduan rakyat Sarawak yang bersama-sama mendepaninya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptamanya dalam majlis Rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2022 secara maya menerusi aplikasi zoom pada Rabu.
Bercakap mengenai majlis yang dianjurkan oleh SUPP Miri-Sibuti Parliamentary Liaison Committee itu, Dato’ Sri Dr Sim berkata, beliau menghargai usaha dan inisiatif jawatankuasa tersebut menganjurkannya.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas inisiatif menganjurkan majlis ini dengan cara baharu seperti ini,” ujarnya.
Beliau menambah, pandemik ini tidak menghalang rakyat Sarawak memeriahkan lagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini walaupun tidak dapat membuatnya dengan cara lama.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Miri yang juga ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS