ISNIN, 7 FEBRUARI 2022
LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menghargai peranan dan sumbangan belia dalam membantu kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak yang lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, walaupun bukan ganjaran yang diharapkan tetapi pengalaman dan ilmu yang diperolehi sepanjang bertugas itu sangat berharga buat golongan belia.
Menyedari kepentingan itu, PBB menggesa belia di Sarawak menyertai parti itu bukan semata-mata untuk meramaikan keahlian sebaliknya untuk memberikan sumbangan kepada parti, masyarakat dan negeri Sarawak amnya.
“Di peringkat PBB akan dibentuk satu sayap baru khusus untuk golongan belia yang berumur 18 hingga 28 tahun.
“Setakat ini belum ada nama khusus untuk sayap baru ini dan tiada perbezaan gender untuk sayap ini nanti.
“Lelaki dan perempuan dalam lingkungan usia tersebut boleh menjadi ahli atau ketua dan ahli jawatankuasa di peringkat ranting dan cawangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Apresiasi Petugas PRN Ke-12 Sarawak Peringkat DUN Bukit Kota di Sarimah Curry House Restoran & Catering pada Sabtu.
Mengulas mengenai Malam Apresiasi Petugas PRN Ke-12 Sarawak Peringkat DUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman mengucapkan terima kasih di atas sumbangan belia dalam membantu GPS di DUN Bukit Kota yang membawa kemenangan penuh bermakna.
Beliau yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak turut memaklumkan bermula tahun ini belia yang berusia 18 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.
“Rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas akan didaftarkan secara automatik di dalam daftar pengundi dan ini akan digunapakai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“PRN Johor akan membolehkan kita melihat trend sokongan pengundi muda 18 ini di mana jumlahnya agak ramai dan mereka boleh menjadi penentu kepada kemenangan atau kekalahan kepada calon yang bertanding,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda PBB DUN Bukit Kota merangkap Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB DUN Bukit Kota Roslan Abdul Rahman dan wakil belia Apiz Tamimi.-EDISI UKAS