LPPKN Teruskan WCaRe, Program Pengesanan Awal Kanser Reproduktif

SELASA, 8 FEBRUARI 2022

PUSA: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meneruskan program pengesanan awal kanser reproduktif pada tahun ini melalui kempen WCaRe (Women Cancer Reproductive).

Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, penganjuran kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser serviks dalam kalangan wanita.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua golongan wanita untuk mengambil peluang ini untuk menjalani saringan HPV DNA bagi pengesanan awal kanser serviks.

“Ini adalah sebagai usaha untuk menggalakkan wanita di seluruh Sarawak untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payu dara dan kanser serviks sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (Wcare) Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2022 di Dewan Masyarakat Beladin, Pusa baru-baru ini.

WCare merupakan inisatif untuk mempromosikan Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) kepada wanita seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi LPPKN Dato’ Mohd Nizar Zakaria berkata, beliau berharap lebih ramai golongan wanita mendapat manfaat melalui usaha ini selari dengan strategi bagi membangun sebuah Keluarga Malaysia yang sihat dan sejahtera seperti yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam majlis itu juga, sebanyak 150 baucer saringan percuma Mamogram dan HPV DNA telah diserahkan kepada wakil penduduk Beladin untuk dimanfaatkan golongan wanita setempat.-EDISI UKAS

add comment