Maksak Bahagian Mukah Anjur Majlis Makan Malam Mukah Gemilang 2022

SELASA, 8 FEBRUARI 2022

MUKAH : Maksak Bahagian Mukah telah menganjurkan Majlis Makan Malam Mukah Gemilang 2022 di Kingwood Resort, Mukah pada Ahad.

Penganjuran majlis ini adalah untuk menghargai dan meraikan semua barisan hadapan yang telah bekerja keras sepanjang wabak pandemik COVID-19 serta meraikan Hari Mencintai Alam Sekitar Bahagian Mukah 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, hasil pengorbanan pasukan barisan hadapan dan kerjasama baik yang ditunjukkan oleh rakyat telah memberikan hasil yang ketara yang mana kita hampir berjaya mengekang pandemik COVID-19 ini.

“Hampir semua aktiviti sosial dan ekonomi terpaksa dihentikan bagi memutuskan rantaian penularan wabak merbahaya ini.

“Dengan adanya sambutan Hari Mencintai Alam Sekitar Bahagian Mukah, ini telah menjadi wadah bagi penglibatan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran serta membuat tindakan demi menjaga kesejahteraan alam sekitar sama ada secara individu mahupun secara bersepadu, baik di peringkat daerah, bahagian, dan juga negeri,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Tambah Dato Hanifah, agenda ini tidak akan mampu dicapai tanpa penglibatan semua pihak kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

Justeru itu, program seperti ini katanya menjadi landasan untuk memperkasakan diri, keluarga dan masyarakat ke arah kelestarian alam sekitar.

Ujarnya lagi, ia harus diteruskan untuk membantu menanamkan sikap cintakan alam sekitar supaya dapat diwujudkan satu budaya baru di mana pertimbangan kepada penjagaan alam sekitar menjadi sebahagian daripada gaya hidup seharian.

Sementara itu, Dato Hanifah turut memberitahu, pendidikan dan kesedaran terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan di kalangan masyarakat serta berharap agar program sebegini menjadi pendorong untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mesra alam yang lain pada masa akan datang.-EDISI UKAS

add comment