Pemasangan 285 Lampu Solar Dari Batu Kitang Ke Bandar Bau Bersifat Sementara, Lampu Jalan Konvensional Dipasang Selepas Projek Naik Taraf Jalan Siap

SELASA, 8 FEBRUARI 2022

BAU: Pemasangan 285 unit lampu solar di sepanjang jalan dari Batu Kitang menuju ke Bandar Bau yang diluluskan baru-baru ini merupakan bersifat sementara sehingga projek menaik taraf jalan tersebut siap dilaksanakan.

Menteri Muda Pengangkutan II Sarawak, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, pemasangan lampu solar tersebut adalah berdasarkan penilaian atau analisa yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, penggunaan lampu solar adalah lebih cepat dan tidak memerlukan sub-stesen berbanding penggunaan lampu jalan konvensional.

“Apabila projek naik taraf jalan dilaksanakan kelak, tiang lampu solar ini mudah dipindahkan dan lampu tetap menyala berbanding lampu jalan konvensional,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di beberapa lokasi di kawasan Bau pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan pegawai kerajaan lain.

Beliau menambah, sebelum ini terdapat lebih 30 tiang lampu solar telah dipasang di beberapa lokasi berbahaya di jalan tersebut dan ianya lebih terang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, penggunaan lampu jalan konvensional yang kekal dan menggunakan elektrik akan dipasang apabila projek menaik taraf jalan tersebut kepada empat lorong siap sepenuhnya kelak.

“Lampu solar yang tidak digunakan setelah siapnya projek naik taraf jalan itu kelak kemudiannya akan dipasang lagi di tempat lain dan menjimatkan kos,” katanya. -EDISI UKAS

add comment