Biro Pendidikan DUN Bukit Semuja Kenalpasti Graduan Belum Bekerja

RABU, 9 FEBRUARI 2022

SERIAN: Biro Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja sedang mengenalpasti graduan dari konstituensi berkenaan bagi membantu mereka mencari peluang pekerjaan atau meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, Pusat Khidmat DUN Bukit Semuja telah memohon kerjasama daripada ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKKK) dari kawasan berkenaan bagi mengenalpasti golongan tersebut.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memudahkan kumpulan graduan yang masih belum bekerja mendapat peluang pekerjaan atau melanjutkan pengajian mereka.

“Peluang pekerjaan graduan yang terhad wujud apabila berlakunya ketidaksejajaran di antara jumlah graduan dengan bilangan pekerjaan yang ditawarkan.

“Justeru, kita perlu membantu golongan graduan tersebut bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Riih Daso Serian pada Selasa.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Riih Daso, Nixtion Oscar berkata, majlis tersebut adalah untuk menyemai dan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara pemimpin dan ahli-ahli PIBG.

Beliau turut memaklumkan John Ilus telah banyak memberi sumbangan dan bantuan dari segi kemudahan dan penambahbaikan infrastruktur di sekolah berkenaan. -EDISI UKAS

add comment