RABU, 9 FEBRUARI 2022
KUCHING : Hari Integriti yang diadakan setiap tahun adalah bagi membentuk dan membudayakan masyarakat terutama sekali penjawat perkhidmatan awam.
Menurut Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr. Juanda jaya, Kerajaan Sarawak telah mewujudkan portfolio Integriti dan Ombudsman sebagai langkah menyokong inisiatif negara dalam meningkatkan integriti, tadbir urus serta usaha anti-rasuah.
“Bagi memperkasakan usaha ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), seramai 94 orang Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri telah berjaya melepasi tahap kompetensi dan ditauliahkan sebagai Certified Integriti Officer (CeIO).
“Pegawai integriti bertauliah berperanan sebagai jentera atau agen bagi meningkatkan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik serta mengurangkan kelakuan tidak wajar dalam sesebuah organisasi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Hari Integriti Dan Inovasi serta Perhimpunan Perdana Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 2022 di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar semua penjawat awam sentiasa menjadikan integriti sebagai asas dan pegangan dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada PUSAKA kerana telah menjayakan program seperti ini.-EDISI UKAS