Maritim Malaysia Zon Bintulu Tahan Bot Tunda Beroperasi Dengan Dokumen Tamat Tempoh

RABU, 9 FEBRUARI 2022

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda yang beroperasi menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 7.20 malam Selasa. 

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot Pengawal 21 Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Permai dan Op Benteng di sekitar perairan Bintulu telah mengesan bot tunda tersebut sedang belayar tanpa muatan sekitar jam 6.50 petang Selasa. 

“Hasil pemeriksaan dan tindakan menggeledah didapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen “Domestic Shipping License” (DSL) yang telah tamat tempoh dan sedang belayar keluar dari Sungai Kemena ke laut.

“Ketika diperiksa, mendapati bot dikendalikan secara bersendirian oleh seorang nakhoda warga India berumur 29 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Nakhoda beserta bot tunda tersebut ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut. 

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah. 

Sehubungan itu, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.-EDISI UKAS

add comment