Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Petag Dijangka Siap Julai Ini

RABU, 9 FEBRUARI 2022

PADAWAN: Projek naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Petag dijangka siap pada Julai tahun ini.

Menteri Muda Pengangkutan I Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, projek itu menggunakan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu juga memberitahu, projek tersebut akan dilaksanakan pada minggu depan.

“Saya berharap projek ini kelak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Tapak Projek RTP kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor pada Selasa.

Tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf dewan tersebut termasuk besi, pemasangan lampu, jeriji besi serta kipas angin.

Sementara itu, Datuk Dr Jerip merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung Petag di atas kejayaan mendapatkan hak tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada 16 Disember lepas.

“Kita juga memberi tumpuan yang lebih kepada sektor pertanian melalui program tanaman kopi,” katanya. -EDISI UKAS

add comment