KHAMIS, 10 FEBRUARI 2022
TATAU: Keperluan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bertujuan mengelak jangkitan virus COVID-19 dan komplikasi mendapat jangkitan.
Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata Pasukan Vaksinasi Bergerak Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Klinik Kesihatan Tatau telah memberi suntikan vaksinasi kepada 400 orang murid SK Tatau yang berumur di antara 7 hingga 11 tahun pada Rabu.
“Murid-murid ini telah menerima suntikan vaksin Comirnaty (Pfizer) dos kanak-kanak yang mana ia adalah hanya satu per tiga daripada dos remaja dan dewasa iaitu sebanyak 10 mikrogram sahaja.
“Hanya seorang waris sahaja dibenarkan menemani kanak-kanak sepanjang proses vaksinasi berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Program Vaksinasi COVID 19 Kanak-kanak (PICKids) Berumur 5 hingga 11 Tahun Bahagian Bintulu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau pada Rabu.

Tambahnya lagi, semua kanak-kanak yang hadir menerima suntikan vaksinasi di SK Tatau tidak mengalami sebarang kesan sampingan akut dan dibenarkan pulang bersama ibu bapa masing-masing.
Sehingga 9 Februari 2022, jumlah keseluruhan kanak-kanak di bahagian Bintulu yang telah menerima suntikan vaksinasi adalah seramai 420 orang.
Selepas ini, PICKids Bahagian Bintulu akan bergerak ke SK Sebauh pada 10 Februari 2022, kemudiannya di SK Kidurong, SK Asyakirin, SK Sg Kem Batu 18 dan SK Kampung Jepak pada 12 dan 13 Februari 2022 dan pada 14 Februari 2022 di SK Sebauh, SJKC Chung San Sebauh, SK Tatau dan SJKC Chung Hua Tatau.
Bagi fasa kedua melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun akan dijalankan Tadika, Taska serta pusat asuhan kanak-kanak yang melibatkan kolaborasi bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.-EDISI UKAS