JAIS & BDA Berkolaborasi Jalankan Ops Zolam & Ops Maiseer

KHAMIS, 10 FEBRUARI 2022

BINTULU: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah melaksanakan Ops Zolam dan Ops Maiseer pada Khamis.

Rondaan dan pemantauan ini telah dijalankan di beberapa premis hotel dan premis nombor ramalan di sekitar Bandar Bintulu untuk pencegahan Undang-undang Syariah.

Ini merupakan salah satu inisiatif JAIS Bintulu untuk memberikan kesedaran kepada orang awam khususnya orang Islam di Bintulu tentang kesalahan jenayah Syariah yang patut dihindari demi kesejahteraan masyarakat Islam.

Operasi seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kegiatan tidak patuh undang-undang Syariah akan dapat dibendung dalam masyarakat Islam di Bintulu.

Seramai 14 orang Pegawai Penguatkuasa Agama Islam terlibat dalam operasi tersebut antaranya Pejabat JAIS Bahagian Miri, Bintulu, Sibu serta Mukah dan turut dibantu 5 anggota PDRM, 3 anggota Sukarelawan PDRM, 5 Pegawai Penguatkuasa BDA dan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu.-EDISI UKAS

add comment