MEITD Mengadakan Lawatan Kerja Ke KPT, MOSTI Dan Talent Corp

10 FEBRUARI 2022

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) mengadakan lawatan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn bersama Menteri Muda Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pendidikan dan Inovasi, Dr. Annuar Rapaee, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Kameri Affandi serta pegawai-pegawai lain.

Menerusi pertemuan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Datuk Roland Sagah bersama rombongan telah membincangkan lebih lanjut berkaitan dengan isu permohonan visa pelajar luar negara yang menuntut di dalam Sarawak.

Selain itu, turut dibincangkan mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan institusi pengajian tinggi.

Turut dibincangkan berkaitan kolaborasi yang boleh dijalankan bersama dengan kerajaan pusat di peringkat Sarawak.

Selepas itu, Datuk Roland Sagah bersama rombongan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Sri Dr. Adham Baba di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Pertemuan tersebut adalah bagi perbincangan lanjut berkaitan dengan bidang sains, teknologi serta inovasi yang boleh dikembangkan dan diterokai oleh Sarawak.

Ia merupakan kolaborasi yang berpanjangan di antara MEITD dan MOSTI.

Turut dibincangkan juga adalah berkaitan dengan program yang boleh dilaksanakan di Sarawak bersama pihak MOSTI dan bagaimana untuk mengkomersialkan produk yang telah dibangunkan juga telah menjadi antara agenda yang diberikan penekanan oleh pihak MEITD.

Dalam pada itu, Datuk Roland Sagah bersama rombongan juga mengadakan lawatan ke Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp) di Talent Corp, Damansara, Kuala Lumpur.

Pihak Talent Corp. Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Thomas Mathew menyambut baik kedatangan dan hubungan yang terjalin antara pihak kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak.

Fokus utama pertemuan tersebut adalah untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana Sarawak boleh mengurus dan menyelaras pembangunan bakat di negeri ini. -EDISI UKAS

add comment