JUMAAT, 11 FEBRUARI 2022
KUCHING: Sebanyak 40,000 permohonan penyambungan elektrik di bawah projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) telah diterima Sarawak Energy Berhad (SEB) sejak program itu dilancarkan pada 2018.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 7,000 permohonan telah diselesaikan di bawah Skim Elektrik Luar Bandar (RES).
Menurutnya, kerajaan telah menyalurkan dana kira-kira RM50 juta untuk ALAF dalam memastikan liputan capaian bekalan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Buat masa ini, liputan elektrik di kawasan luar bandar di Sarawak adalah kira-kira 96.5 peratus.
“Manakala keseluruhan capaian tenaga elektrik di seluruh Sarawak pula adalah sebanyak 98 peratus,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat SEB di sini pada Khamis.
Turut hadir ialah Menteri Muda (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sementara itu, Datuk Julaihi memberitahu, sasaran untuk mencapai liputan elektrik 100 peratus menjelang 2025 tidak mustahil dicapai meskipun melibatkan kawasan terpencil.
Katanya, 32 kumpulan kontraktor SEB telah diberi amanah untuk memastikan kelancaran projek ALAF melibatkan kawasan luar bandar. -EDISI UKAS