Program Transformasi Keusahawanan dan Pembangunan Ekonomi Komuniti Batang Sadong Platform Bentuk Masyarakat Usahawan

SABTU, 12 FEBRUARI 2022

SIMUNJAN: Program Transformasi Keusahawanan dan Pembangunan Ekonomi Komuniti Batang Sadong merupakan platform bagi membentuk masyarakat usahawan tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penerapan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat penting bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

Menurutnya, sasaran utama untuk program berkenaan adalah di kalangan golongan usahawan tempatan yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Komuniti Usahawan Simunjan (PERKOUS), Persekutuan Perkumpulan Wanita Daerah Simunjan (PPWS) dan Persatuan Ibu Tunggal Daerah Simunjan (PITSA).

“Program ini adalah lanjutan daripada program bantuan serahan peralatan dan kelengkapan perniagaan bagi pengusaha Daerah Simunjan pada 30 Januari lepas.

“Saya berasa gembira melihat perkembangan semua peserta di mana mereka telah menunjukkan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam menambah ilmu keusahawanan,” katanya semasa majlis penangguhan Program Transformasi Keusahawan dan Pembangunan Ekonomi Komuniti Batang Sadong di Anjung Rehat Majlis Daerah Simunjan (MDS) pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berharap, program berkenaan mampu menjadi pemangkin untuk melonjakkan ekonomi masyarakat Batang Sadong.

“Ilmu keusahawanan dalam kalangan rakyat harus bermula di peringkat akar umbi sehingga kesiagaan memperkukuh wibawa untuk bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. -EDISI UKAS

add comment