AHAD, 13 FEBRUARI 2022
SERIAN: Para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk mengambil kursus berkaitan kemahiran dan teknikal.
Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur Jepun, Korea Selatan dan Taiwan merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem berkata, ramai masih tidak menyedari bahawa bidang teknikal menyediakan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang agak lumayan.
Justeru ujarnya, lepasan pelajar di Serian boleh memohon kemasukan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) di negeri ini bagi mempelajari pelbagai bidang berkaitan teknikal.
“Di Sarawak ada tiga ILP iaitu di Samarahan, Miri dan terbaharu masih di peringkat pembinaan iaitu ILP Serian.
“Malah, di Malaysia pada hari ini hanya 28 peratus sahaja pekerja berkemahiran berbanding 90 peratus di negara Jerman. Jadi saya menyeru ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak mereka memasuki Kolej Kemahiran yang ada di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Insentif Layak Sijil Percubaan SPM 2021 dan Muafakat Ibu Bapa di Kampung Pichin pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau juga menasihati ibu bapa dan pelajar lepasan SPM supaya tidak terburu-buru untuk memasuki kolej dan universiti swasta.
Katanya, sebelum itu ibu bapa dan pelajar harus meneliti dan membuat kajian tentang kolej atau universiti tersebut termasuk dengan tawaran kursus yang ditawarkan.
“Jika silap memilih kursus ia boleh merugikan ibu bapa dan pelajar itu nanti,” jelasnya.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Serian. -EDISI UKAS