GPS Akan Pastikan Sarawak Terus Membangun Bagi Tempoh 5 Tahun Akan Datang

ISNIN, 14 FEBRUARI 2022

KUCHING: Kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak memberi mandat besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memerintah dan membangunkan negeri ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, kemenangan ini juga suatu yang baik GPS terus bersuara mendapatkan kembali hak dan kedaulatan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Kami berharap pembangunan Sarawak akan berterusan dan akan memberi manfaat kepada rakyat. 

“Mandat yang kuat ini juga sangat baik untuk Kerajaan GPS mendapatkan kembali hak dan kedaulatan Sarawak. Ini kerana kami mempunyai asas undang-undang untuk memahami kedaulatan atau autonomi yang lebih kukuh. 

“Saya berharap 5 tahun akan datang adalah tempoh yang baik untuk Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.

Sementara itu, beliau yang juga Datuk Bandaraya Miri mengucapkan terima kasih kepada komuniti Cina di Sarawak yang memberi sokongan kepada GPS pada PRN-12 Sarawak lepas dengan berharap lebih banyak manfaat di perolehi masyarakat Cina. 

“Saya pasti Kerajaan GPS akan melaksanakan lebih banyak pembangunan dan juga mengembangkan kemudahan di kawasan bandar. 

“Sudah tentu saya juga melihat dalam tempoh 5 tahun ini akan mencapai hasil yang boleh dilihat oleh rakyat dan supaya rakyat akan dapat terus menyokong kami,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, ADUN Katibas Lidam Assan menyifatkan jumlah ADUN GPS yang ramai di dalam DUN Sarawak pada penggal ini memberi peluang kepada Kerajaan GPS untuk meneruskan pembangunan di kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian. 

“Sebagai satu pasukan, kami berusaha untuk mencapai keputusan dan kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar khususnya di DUN Katibas dengan membawa lebih banyak pembangunan dan ekonomi sosial, infrastuktur dan kesalinghubungan. 

“Ini adalah suara rakyat yang meminta pembangunan terutamanya untuk pengundi yang telah mengundi kita dan menjadikan Sarawak lebih baik,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa sokongan penduduk di kawasan luar bandar sehingga membawa kemenangan besar GPS dalam PRN12 Sarawak lepas memberi petunjuk bahawa suara pengundi dan masyarakat luar bandar sentiasa bersama Kerajaan GPS yang mahukan pembangunan berterusan. 

“Suara itu sangat besar dan kami berharap dapat memperbaiki keadaan ini. 

“Saya juga percaya GPS boleh melakukannya dengan menyampaikan projek, infrastruktur, kesalinghubungan dan elektrik serta yang paling penting ialah sosioekonomi penduduk di kawasan luar bandar,” ujarnya. 

Mewakili golongan muda dalam DUN Sarawak, Azizul Annuar Adenan yang merupakan ADUN Tanjung Datu menyifatkan belia di Sarawak pada hari ini mempunyai aspirasi dan bersama dalam memajukan diri serta Sarawak. 

“Belia kita pada zaman ini lebih banyak menuntut ataupun lebih mempunyai aspirasi masing-masing. 

“Kita di PBB seharusnya tidak ketinggalan dalam membawa aspirasi belia dan pemuda di dalam perancangan dan pembentukan polisi-polisi di Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS

add comment