RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 Dibentang Kali Kedua

SELASA, 15 FEBRUARI 2022

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 untuk menukar nama jawatan Ketua Menteri kepada Perdana dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) ke-19 pada Selasa.

RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam pembentangannya, Dato Sri Abdul Karim berkata cadangan untuk menukar nama Ketua Menteri kepada Perdana bertujuan menggambarkan dengan betul status Sarawak sebagai berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat yang asalnya difikirkan oleh pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan apabila Sarawak bersetuju menjadi parti dalam pembentukan Malaysia, adalah bertujuan supaya Sarawak mengekalkan statusnya sebagai satu daripada tiga wilayah, Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu.

“Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan,” katanya semasa berucap.

Beliau turut mencadangkan agar nama jawatan Menteri Muda diubah kepada Timbalan Menteri untuk lebih mencerminkan fungsi dan tanggungjawab mereka.

Katanya, ketika ini, Perkara 7A Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan jawatan Menteri Muda untuk membantu Ketua Menteri dan Menteri menjalankan tugas dan fungsi mereka.

Tambah Dato Sri Abdul Karim, takrifan ‘Persekutuan’ dalam Perlembagaan Negeri juga perlu dipinda memandangkan takrifan ‘Persekutuan’ dalam Perlembagaan Persekutuan telah dipinda.

“Pada masa ini, di bawah Perlembagaan Negeri, ‘Persekutuan’ bermaksud Persekutuan yang akan dikenali, pada dan selepas Hari Malaysia dengan nama Malaysia.

“Manakala sebelum pindaan baru-baru ini kepada takrif ‘Persekutuan’ dalam Perlembagaan Persekutuan, takrifan ‘Persekutuan’ bermaksud Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, takrif ‘Persekutuan’ dalam fasal (2) Perkara 160 telah dipinda mengikut semangat Perjanjian yang berkaitan dengan Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut kuasa Perjanjian yang berkaitan dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Sementara itu, pembentangan pindaan itu turut dibahaskan beberapa ADUN dari blok kerajaan dan pembangkang. – EDISI UKAS

add comment