Kerajaan Sarawak Komited Tambahbaik Pengurusan Pusat Khidmat Setiap DUN

KHAMIS, 17 FEBRUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menambahbaik pengurusan di pusat khidmat bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengurusan rekod pusat khidmat di setiap kawasan DUN adalah penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dan masalah dapat dikenal pasti serta diatasi.

“Rekod bagi setiap projek yang dilakukan adalah penting.

“Sekiranya pengurusan rekod ini kita boleh urus dengan baik, sudah tentu tiada masalah untuk menunaikan janji kepada rakyat,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Projek Khas di Hotel Pullman Kuching pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menegaskan setiap ADUN untuk memastikan tatacara pengurusan pusat khidmat masing-masing selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam projek berkenaan.

“Sekarang kita sudah mempunyai buku mengenai garis panduan bagi pengurusan projek dan tatacara pengurusan pusat khidmat wakil rakyat supaya anda mengetahui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi dari segi menguruskan projek,” katanya lagi.

Dalam majlis itu juga, Ketua Menteri turut mengumumkan mengenai pelantikan Dato’ Ibrahim Baki sebagai Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, barisan Menteri-Menteri Sarawak, barisan Menteri Muda-Menteri Muda Sarawak, dan ADUN-ADUN dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).-EDISI UKAS

add comment