PICKids Bahagian Sarikei Berjalan Lancar Atas Kerjasama Baik Pejabat Pendidikan Daerah

JUMAAT, 18 FEBRUARI 2022

SARIKEI: Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-Kanak (PICKids) berusia 5 hingga bawah 12 tahun di Bahagian Sarikei anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei berjaya dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah.

Seramai 2,148 kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun telah diberikan vaksin jenis Pfizer dan program tersebut mendapat sambutan yang hangat sejak hari permulaan.

Dalam pada itu, dimaklumkan tiada kesan sampingan yang dilaporkan sepanjang tempoh pemantauan di klinik kesihatan tersebut.

Sementara itu, Program PICKids mengikut daerah yang telah dijadualkan akan berlangsung dari 18 sehingga 20 Februari 2022, iaitu bagi daerah Sarikei 18 hingga 20 Februari, Daerah Meradong 19 hingga 20 Februari manakala daerah Julai pada 19 hingga 20 Februari.

Sehubungan itu, ibubapa disarankan untuk menghadiri janji temu seperti masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Selain itu, diingatkan, sila bawa bersama kad pengenalan ibubapa, mykid kanak-kanak atau sijil lahir serta kad klinik atau perubatan jika ada.

Bagi mereka yang tidak bersekolah, di luar kawasan atau jauh dari PPV yang ditetapkan, ibu bapa boleh menghantar SMS atau melalui aplikasi Whatsapp ke Sarikei COVID-19 Vaccine Hotline 019-834 1079 untuk mendapatkan janjitemu yang baru.

Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan untuk mendaftarkan anak mereka agar kanak-kanak dapat dilindungi daripada komplikasi jangkitan seperti Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C), kesan sampingan COVID-19 jangka panjang (Long COVID-19) dan membolehkan kanak-kanak meneruskan aktiviti harian dan pembelajaran dalam keadaan yang selamat.

Untuk mendapatkan maklumat lain yang berkaitan, boleh rujuk kepada pautan laman web: https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19/pickids. -EDISI UKAS

add comment