SABTU, 19 FEBRUARI 2022
MIRI: Para penghuni Sekolah Tunas Bakti (STB) Miri berpotensi untuk berkembang dalam bidang keusahawanan.
Sehubungan itu, Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Dr Ripin Lamat mencadangkan kerjasama antara kementerian dan institusi berkenaan diadakan bagi menjalankan program berkaitan dengan keusahawanan.
“Saya dimaklumkan pelajar di sini didedahkan dengan kegiatan usahawan seperti pastri dan jahitan yang mana ini adalah satu bidang usahawan.
“Kita mungkin boleh membuat satu kolaborasi program yang mana mereka ini boleh kita didik menjadi usahawan angkat bersama dengan kementerian kerana kita memang fokus kepada usahawan belia iaitu 40 tahun ke bawah.
“Mungkin kita boleh bekerja sama dengan pihak STB dan Ahli Lembaga Pelawat bersama dengan para pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Petani Moden Penanaman Sayuran Kaedah Sistem Hidroponik di Sekolah Tunas Bakti (STB) Miri pada Jumaat.
Sementara itu, penganjuran program tersebut bertujuan memperkenalkan cara penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah Hidroponik dengan menggunakan Nutrient Film Technic (NFT) kepada penghuni-penghuni institusi tersebut.
Ia adalah bagi mendedah, melatih dan membantu penghuni-penghuni dalam aspek pembangunan ekonomi, kerjaya, serta kebajikan apabila sudah bebas daripada institusi kelak.
Selain itu, ia juga adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka ke arah amalan pertanian hijau yang tidak toksik, mesra alam, bebas pencemaran dan mencapai kehidupan sihat kepada semua orang dan persekitarannya.
Penghuni-penghuni harus mampu beradaptasi dengan sistem terkini yang sistematik dan dengan itu juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penghuni-penghuni.-EDISI UKAS