AHAD, 20 FEBRUARI 2022
MIRI: Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai ahli Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) terjejas terutama mereka yang terlibat dalam sektor yang dihadkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan berkata, bagaimanapun DUBS telah muncul sebagai suara yang penting dengan membawa usul-usul yang perlu untuk membantu peniaga-peniaga Bumiputera.
Katanya lagi, banyak usul DUBS telah diterima Kerajaan Sarawak dan dilaksanakan.
“Keberkesanan bantuan kerajaan Sarawak mencapai hasil yang bercampur-campur.
“Pihak DUBS telah melaksanakan tiga survey terhadap ahli-ahlinya dan juga peniaga-peniaga Bumiputera yang lain.
“Kami dapati bantuan dalam tahun 2020 dan awal 2021 adalah cukup baik dengan ramai ahli yang menerima faedah bantuan. Bagaimanapun, program bantuan yang kemudian berbentuk one off geran Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 7.0) untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM10,000 dan geran BKSS Plus RM3,000 untuk Usahawan Mikro amat mengewakan kerana kelewatan proses mengeluarkan bantuan dan kadar kelulusan yang amat rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung DUBS Cawangan Miri Kali Ke 14 di Eastwood Valley Golf & Country Club Miri pada Ahad.
Presiden DUBS itu juga berharap proses ini akan dapat diperbaiki dengan melonggarkan syarat kelayakan pemohon dan menambahkan agensi pelaksana bagi melancarkan proses mengeluarkan bantuan.
Dalam pada itu, DUBS juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari di atas kelulusan permohonan DUBS Cawangan Miri mendapatkan Tanah daripada Kerajaan Sarawak pada 13 Februari 2019 yang akan diusahakan untuk dibangunkan sebagai Pembangunan ‘Mixed Commercial’ bersama DUBS Pusat kelak.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Usahawan merangkap (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS