Pembangunan Bakat Salah Satu Tumpuan Kerajaan Sarawak Dalam PCDS 2030 Capai Negeri Maju Menjelang 2030

AHAD, 20 FEBRUARI 2022

MIRI: Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Kerajaan Sarawak menekankan betapa pentingnya latihan atau dipanggil pembangunan bakat. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pembangunan bakat ini diwujudkan untuk orang Sarawak khususnya peniaga dan usahawan. 

“Kementerian yang saya tubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak dengan menekankan pembangunan bakat dan keusahawan yang bukan hanya bergantung kepada jual beli, tetapi juga termasuklah seni persembahan. 

“Baru-baru ini anak Sarawak telah berjaya menembusi pasaran dari sudut muzik di Hollywood. 

“Dan, saya tubuhkan TVS untuk mengangkatkan bidang baru iaitu seni persembahan atau kita panggil industri kreatif,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung DUBS Cawangan Miri Kali Ke 14 di Eastwood Valley Golf & Country Club Miri pada Ahad.

Ujar beliau lagi, sehingga kini TVS telah mempunyai 9 juta penonton di seluruh dunia yang dipancarkan melalui Astro. 

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, dalam PCDS 2030 telah disenaraikan beberapa bidang seperti pelancongan, perkhidmatan, pembuatan, vendor dan pertanian komersial yang akan menaikkan kualiti Sarawak. 

“Bidang-bidangnya ini saya yakin boleh diceburi mereka yang mempunyai pengalaman dan juga kepakaran di bidang tersebut di bawah pembangunan bakat. 

“Untuk latihannya, kita ada CIDB, kita ada CENTEX, kita ada ICATS dan kita ada universiti tempatan kita dan inilah masa depan untuk 2030,” tambah beliau. 

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut juga memfokuskan kepada industri pelancongan dengan mengkaji akses atau laluan bagi membolehkan pelancong datang ke Sarawak dan sekaligus merancakkan lagi industri pelancongan luar negara.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Usahawan merangkap (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan.-EDISI UKAS

add comment