Perkasa Komuniti Orang Pekak Di Negeri Ini Perlu Kolaborasi Pelbagai Agensi

AHAD, 20 FEBRUARI 2022

KUCHING: Dalam memperkasakan komuniti orang pekak di negeri ini, kolaborasi serta kerjasama pelbagai agensi amat diperlukan.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata, golongan itu tidak harus berasa diri mereka terpinggir dalam masyarakat kerana mereka turut memiliki hak dan keistimewaan seperti rakyat yang lain.

“Fokus yang telah diberi untuk pembangunan, perancangan dan menambah baik dasar-dasar di bawah kementerian ini akan diberi perhatian yang sewajarnya.

“Secara peribadinya saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para peserta kerana telah melakukan yang terbaik untuk masyarakat kita di Sarawak khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan ‘Deaf Empowerment Workshop’ 2022 yang telah disempurnakan oleh beliau di Imperial Hotel, Kuching pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerajaan negeri Sarawak akan menjalankan pelbagai program secara berterusan bagi menyokong kumpulan sasaran dan memastikan komuniti orang pekak di negeri ini dihargai dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Diharapkan dengan adanya bengkel yang diadakan ini kita dapat mengenalpasti dan juga menambah baik strategi di jabatan kita untuk masyarakat di Sarawak,” ujar beliau lagi.

Untuk makluman, bengkel ini diadakan selama 3 hari yang dihadiri seramai 50 orang peserta dari pelbagai persatuan komuniti orang pekak serta agensi kerajaan di Sarawak.

Pada akhir majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) melibatkan enam buah persatuan komuniti pekak iaitu, Sarawak Society For The Deaf (SSD), Sarawak Deaf Sports Association (SSDeaf), Malaysian Sign Language And Deaf Studies Association (MyBIM), Deaf Media And Technology Association Kuala Lumpur And Selangor (DeafMT), Sarawak Deaf Dance And Culture Society (SWDAC) dan Sarawak Deaf Youth Society (SwDY).

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), Puan Noriah Ahmad, wakil dari persatuan-persatuan komuniti orang pekak dan para peserta bengkel tersebut.-EDISI UKAS

add comment