Taman Sukan Ekstrem Mini Akan Dibina Di Matu

AHAD, 20 FEBRUARI 2022

MATU: Sebuah taman sukan ekstrem mini akan dibina di Matu sebagai usaha menggalakkan penglibatan remaja di kawasan itu dalam sukan lasak.

Perkara itu dimumkan Menteri Muda Integriti Dan Ombudsman, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya yang berkata pembinaan taman itu akan menelan kos kira-kira RM200,000 hingga RM300,000.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata demikian semasa Perasmian Klinik Sukan Extreme Matu Daro 2022 di Dewan Masyarakat Kampung Tian Matu pada Sabtu.

Dalam ucapan ringkanya, Dr Juanda memberitahu beliau amat menyokong penganjuran sukan ekstrem itu kerana ia adalah aktiviti yang sihat dan berharap ianya diadakan lagi dalam skala yang lebih besar dan terperinci di masa akan datang.

Sebagai tanda sokongannya, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Sukan Ekstrim Matu Daro (M.EX.D) untuk kegunaan mengadakan aktiviti berkaitan sukan tersebut.

Seramai 150 peserta terdiri daripada belia dan kanak-kanak dari Belawai, Sibu, Sarikei, Mukah, Matu Dan Daro menyertai program julung kali dianjurkan oleh M.EX.D dengan kerjasama Bachelor Of Malaysia (B.O.M) Dan Jawatankuasa Sukan, Aktiviti Sosial Dan Kemasyarakatan (SAUK) itu.

Antara pengisian program adalah perkongsian ilmu mengenai sukan ekstrem yang disampaikan oleh tenaga pengajar berkaitan Sukan Papan Selaju (Skate Board) yang disampaikan oleh Danny dari Kuching; Sukan basikal BMX yang disampaikan oleh Paul iaitu wakil Malaysia dan Sarawak serta peserta KL Asian XGame serta Sukan Roller Blade yang disampaikan oleh Abdul Hakim dari Sarikei.

Selesai teori, para peserta juga melakukan praktikal dan diberi tunjuk ajar menggunakan peralatan sukan tersebut. – EDISI UKAS

add comment