Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 Diteruskan Dengan Pelaksanaan SOP Lebih Ketat

SELASA, 22 FEBRUARI 2022

KUCHING: Penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 pada 24 hingga 27 Februari ini akan dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih ketat, jelas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri. 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa bagi membincangkan SOP tambahan. 

Katanya lagi, SOP sedia ada yang diputuskan sebelum ini tetap akan dilaksanakan dan langkah baharu akan diumumkan MKN serta Kementerian Kesihatan, esok (Selasa).

“Memang ada Kerajaan Sarawak meminta kita menangguhkan dahulu program itu, tetapi saya membuat pertimbangan untuk meneruskannya dengan memperkenalkan SOP baharu yang akan diputuskan MKN.

“Kami juga sudah berbincang dengan agensi Kerajaan Sarawak seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membantu menguatkuasakan SOP itu nanti,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Isnin. 

Ujar Dato Sri Nancy lagi, persiapan penganjuran program itu sudah lama dibuat dan ramai pihak yang terbabit. 

“Penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia itu diadakan dengan kos RM4.8 juta dan kita tidak boleh menangguhkannya lagi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan akan merasmikan Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia di Tebingan Kuching pada Sabtu ini.

Citrawarna Keluarga Malaysia 2020 akan berlangsung pada 24 hingga 27 Februari ini di Tebingan Kuching, Jalan Carpenter, Padang Merdeka, Jalan Main Baazar serta beberapa hotel terkemuka.-EDISI UKAS

add comment