RABU, 23 FEBRUARI 2022
LAWAS: Belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan dan daerah Lawas perlu merebut peluang dalam mengasah bakat dalam sukan bola sepak ke peringkat yang lebih tinggi menerusi Karnival Sukan SABERKAS (KASUS).
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, ini dapat dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila ada belia dari Lawas yang telah berjaya menyarung jersi bola sepak negara.
“Sebelum ini, dalam sukan bola sepak, seorang pemain dari daerah Lawas telah menyarung jersi kebangsaan dan mewakili Malaysia ke peringkat Asia iaitu James Yakub.
“Adalah diharapkan persatuan sukan di daerah Lawas, suatu hari nanti dapat mencungkil lagi bakat-bakat belia di daerah ini untuk ke peringkat lebih tinggi termasuk pertandingan bola sepak anjuran SABERKAS Cawangan DUN Ba’kelalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) di Kampung Lumut pada Sabtu.
Pada majlis itu, Dato Henry telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada SABERKAS Cawangan DUN Ba’kelalan dan RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lumut bagi penganjuran Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Sempena Karnival Sukan SABERKAS (KAKUS).
Turut diumumkan, peruntukan RM80,000 bagi pembinaan bangunan tambahan dari bangunan gerai jualan di Kampung Lumut. -EDISI UKAS