Masyarakat Perlu Didedahkan Dengan Keselamatan Di Air

KHAMIS, 24 FEBRUARI 2022

BINTULU: Keselamatan semasa melakukan aktiviti yang melibatkan air terutama sekali ketika berada di pantai perlu didedahkan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendedahan mengenai perkara ini adalah penting untuk memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengetahui tindakan yang boleh dilakukan.

Beliau memuji inisiatif yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu yang menganjurkan program Majlis Keselamatan Di Air di Pantai Tanjung Batu.

“Pantai merupakan tempat awam dan orang awam perlu diberikan pendedahan mengenai bahaya yang mungkin berlaku ketika melakukan aktiviti di pantai ini.

“Jadi, inisiatif yang dilakukan Bomba ini memberikan manfaat kepada masyarakat terutama sekali untuk menyelamatkan nyawa mereka dan kita perlu menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Majlis Keselamatan Di Air dan Penutupan Program Kelab Kanak Kanak 3K di Pantai Tanjung Batu Bintulu pada Selasa.

Dalam pada itu, Johnny Pang juga menambah, pendedahan dalam program ini juga bukan sahaja mengenai air malah mengenai kebakaran yang melibatkan kanak-kanak.

Terdahulu semasa berucap, ADUN Tanjung Batu itu mengingatkan ibu bapa yang membawa anak-anak ke pantai Tanjong Batu untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa.

“Jangan benarkan mereka bermain di tempat perairan yang dalam. berenang di pantai tidak sama seperti berenang di kolam renang.

“Saya berharap papan tanda yang dipasangkan Bomba boleh memberikan amaran kepada ibu bapa dan pengunjung pantai untuk berhati-hati semasa bermain di kawasan air Pantai Tanjong Batu,”ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, program seperti ini penting supaya orang awam mengetahui tindakan awal yang boleh dilakukan sebelum pihak penyelamat datang.

“Lima minit pertama kes-kes kemalangan dan kejadian adalah melibatkan orang awam dan sekiranya merkea mengetahui untuk bertindak dengan bijak dimana mereka boleh mneyelamatkan diri mereka dan orang lain.

“Dalam program ini kita menerapkan supaya masyarakat mempunyai kesedaran, kita hendak menyedarkan kepada masyarakat bahawa dalam kita bersuka ria di pantai ini terdapat bahaya yang tersembunyi yang perlu mereka ketahui supaya langkah-langkah pencegahan serta kesedaran dalam kalangan masyarakat dapat mengurangkan impak.

“Dalam program ini kita cuba untuk membawa dan melibatkan urus mewujudkan satu suasana mewujudkan jaguh dalam kalangan masyarakat,” katanya.-EDISI UKAS

add comment