KHAMIS, 24 FEBRUARI 2022
BINTULU: Projek Pembinaan Bangunan Pentadbiran Baru Bintulu yang sedang dilaksanakan ketika ini siap 26.2 peratus dan dijangka siap pada Julai depan.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Aidel Lariwoo berkata, beliau dimaklumkan bahawa projek ini mengalami kelewatan disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain faktor tanah dan kekurangan bahan binaan termasuk masalah cerucuk.
Semasa lawatan kerja ke tapak projek pembinaan itu pada Rabu, beliau menjelaskan kelewatan pembinaan ini telah menjejaskan tarikh cadangan asal dan beliau mahu kontraktor mengkaji semula jadual pelaksanaan projek mengikut tarikh baru seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagaimanapun, Aidel berpuas hati terhadap perkembangan kemajuan projek Pembinaan Bangunan Baru Pentadbiran Bintulu tersebut.
Selepas itu, beliau dan rombongan telah bergerak ke tapak projek pembinaan Jambatan Jepak bagi meninjau perkembangan kemajuan projek di seberang Jepak.
Aidel Lariwoo memberitahu, pembinaan dan penyiapan Jambatan Jepak kini telah siap sebanyak 35 peratus dan projek ini mengalami sedikit kelewatan pada ketika ini, namun proses pembinaan tetap berjalan lancar.
Beliau menjelaskan terdapat beberapa halangan dihadapi semasa proses pembinaannya sebelum ini.
“Antara halangan ialah membabitkan utiliti di sebelah bandar Bintulu tetapi sekarang telah berjaya diatasi oleh pihak kontraktor, konsultan dan kini tiada lagi halangan-halangan lain yang akan timbul,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Aset Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ting Sie Loh, Jurutera Bahagian (Bintulu) Lau Pit Hwa, dan Jurutera Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Mohammed Aeizzat Mohammed KassimHuang Hong Kiat, Pengurus Pembinaan Opus Consultant (M) Sdn Bhd.-EDISI UKAS