Kursus Asas Penyiasatan, Lahirkan Pegawai Penyiasat Cekap Dan Berintegriti

SABTU, 26 FEBRUARI 2022

KUCHING: Kursus Asas Penyiasatan merupakan salah satu usaha kerajaan negeri ke arah melahirkan golongan Pegawai Penyiasat yang cekap dan berintegriti bagi menghasilkan kertas siasatan yang berkualiti.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, bagi mendepani usaha tersebut, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan dan amalan siasatan yang termaju merangkumi kedua-dua korpus ilmu iaitu explicit dan tacit.

Explicit Knowledge adalah pengetahuan yang boleh dipelajari secara formal iaitu dari pelbagai institusi pembelajaran manakala Tacit Knowledge diperolehi melalui pengalaman dan kemahiran pensyarah dan mentor.

“Ke arah itu, pensyarah dari Maktab PDRM yang berkaliber, mempunyai ilmu pengetahuan Tacit yang luas dan sangat berpengalaman dalam dunia penyiasatan telah dijemput untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Penutupan Kursus Asas Penyiasatan Bil 1/2022 Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.

Seramai 34 orang pegawai Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan empat orang pegawai penyiasat dari Jabatan dan agensi lain iaitu Jabatan Hutan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Miri City Council telah terlibat dalam kursus tersebut yang berlangsung selama tiga minggu bermula 7 Februari 2022 dan tamat pada 25 Februari 2022.

Dalam pada itu, Datuk Amar Jaul berkata, beliau turut berpuas hati dengan prestasi hasil daripada Latihan Maktab Polis sehingga kini.

“Dengan adanya warga kerja yang terlatih dan komited di bawah barisan pimpinan UKPN, UKPN telah berjaya meningkatkan mutu kertas siasatan.

“Setakat ini, UKPN telah mencapai 100 peratus kejayaan dalam kes-kes yang dibawa ke mahkamah.

“Di samping itu juga, UKPN telah berjaya menyemak dan meningkatkan mutu 381 kertas siasatan yang disiasat oleh Jabatan atau agensi Kerajaan Negeri lain mulai 2019 hingga 2021,”ujarnya lagi.

Beliau juga berharap kolaborasi seperti ini akan terus dikembangkan dalam bidang ini dan jurusan yang lain pada masa akan datang.-EDISI UKAS

add comment