Kira-kira 7,000 Menara Telekomunikasi Diperlukan Di Sarawak Untuk Capai Liputan Menyeluruh

AHAD, 27 FEBRUARI 2022

KUCHING: Sarawak memerlukan kira-kira 7,000 buah menara telekomunikasi dalam mencapai liputan komunikasi secara menyeluruh.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, ini adalah untuk meliputi keseluruhan kawasan di negeri ini termasuk penempatan, lebuh raya, dan kawasan aktiviti ekonomi.

Menurut beliau, pihaknya ingin menyelaraskan semua agensi telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan yang terlibat untuk berkerjasama berkongsi idea, rancangan, dan pengetahuan dalam menyediakan perkhidmatan serta cabaran dan isu yang dihadapi.

“Sememangnya kita mempunyai sasaran untuk mencapai liputan yang menyeluruh pada 2025, tetapi kita perlukan satu penyelarasan di antara semua agensi yang terlibat dan juga penyedia perkidmatan yang berkaitan.

“Perbincangan kita tertumpu kepada isu-isu dan cabaran yang dihadapi dalam menyediakan pembinaan menara telco,” ujarnya semasa mengadakan perbincangan khas bersama Agensi Telekomunikasi dan Penyedia Perkhidmatan Telekomunikasi (Service Providers) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Selain itu, pelbagai input dan cadangan mengenai langkah mitigasi dalam menyediakan kesinambungan di Sarawak telah diketengahkan dan semua pemain utama bersetuju untuk memainkan peranan mereka dalam mempercepatkan penembusan telekomunikasi di Sarawak.

Antara agensi telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam penglibatan itu ialah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), Sacofa Sdn Bhd (SACOFA), Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), dan Sarawak Energy Berhad (SEB),

Manakala penyedia perkhidmatan utama yang mengambil bahagian ialah Telekom Malaysia Berhad, CELCOM Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Sarawak), Maxis Berhad dan U Mobile Sdn. Bhd.

Turut hadir, Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling. -EDISI UKAS

add comment