ISNIN, 28 FEBRUARI 2022
SPAOH: Kejayaan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memenangi 76 dari 82 kerusi dipertandingkan pada Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 yang lalu bertitik-tolak dari kepimpinan bijak Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Menteri telah membuktikan kepimpinannya yang cukup berpengalaman, berkebolehan selain berjiwa rakyat dalam membawa hala tuju Sarawak sejak memegang pucuk pimpinan negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ranting Parti PBB Tiga Tahun Sekali Sesi 2022-2025 Ranting Kampung Hilir Spaoh dan Ranting Kampung Penggan Spaoh pada Ahad.
Dalam ucapannya, Datuk Amar Douglas turut mengingatkan Ahli Jawatankuasa Ranting Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan itu untuk mengukuhkan kerjasama bersama Ketua Kampung.
Beliau juga mahu AJK Ranting mengutarakan usul mengenai dasar-dasar GPS yang telah dan sedang dijalankan untuk ditambahbaik bagi memastikan ianya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Tambah beliau, Kerajaan GPS ada banyak program yang akan dilaksanakan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Pad sebelah pagi, Datuk Amar Douglas telah menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ranting Parti PBB Tiga Tahun Sekali Sesi 2022-2025 Ranting Kampung Tengah Spaoh.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak merangkap Setiausaha Parti PBB Cawangan N.37 Bukit Saban, Dr Richard Rapu.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas telah mengadakan lawatan kerja di Tapak pembinaan projek Lapangan Terbang, Bebuling, Spaoh dan Tapak pembinaan projek Jambatan Sungai Paku, Tanjung Sebekut.
Lawatannya dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Jurutera Awam JKR Sarawak, Pejabat Wilayah Selatan – Stesen Betong, Hazlami Mohammad Yusop.
Projek Lapangan Terbang, Bebuling, Spaoh yang bernilai RM108 juta yang dijadualkan siap pada 17 September 2023 mengalami kelewatan 18.99 peratus dalam jadual pembinaannya.
Faktor itu berpunca daripada kelewatan dalam pembinaan jalan masuk untuk membawa masuk jentera dan bahan selain cuaca buruk.
Selain itu, projek Jambatan Sungai Paku, Tanjung Sebekut sepanjang 100 meter dengan kos RM26.75 juta juga mengalami kelewatan 6.71 peratus.
Sebelumnya, Datuk Amar Douglas mengadakan walkabout di sekitar Pekan Spaoh.
Dalam walkabout, beliau meluangkan masa menyantuni dan bersarapan pagi di Tokong Cina Spaoh bersama beberapa orang ketua kaum dan ketua masyarakat Cina.
Beliau turut meluangkan masa meninjau tapak pembinaan projek Market Baru Spaoh. – EDISI UKAS