SELASA, 1 MAC 2022
KUCHING : Seramai 257 pemuzik sape berjaya mencipta sejarah apabila persembahan mega mereka mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai jumlah pemain sape teramai bersempena penutupan program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.
Konsert Sape bertemakan ‘Rentak Kamek Urang’ itu menampilkan pemain daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik dari seluruh Malaysia memainkan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu tersebut secara serentak selama lima minit di Tebingan Sungai Kuching.
Simbolik penyerahan sijil pengesahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi MBR, Christoper Wong Hong Wai kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang mewakili Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri serta disaksikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Konsert secara fizikal anjuran Jabatan Kesenian Dan Kebudayaan Negara (JKKN) tersebut bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) seni budaya pelbagai kaum di Sarawak.
Program Citrawarna Keluarga Malaysia berlangsung selama 4 hari, bermula 24 Februari 2022 di tiga lokasi utama merangkumi Tebingan Sungai Kuching, Jalan Main Bazaar dan Padang Merdeka Kuching.-EDISI UKAS