Ops Tapis Khas, 21 Ditahan Dan Didapati Positif Dadah

SELASA, 1 MAC 2022

BINTULU: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Bintulu telah mengadakan Operasi Tapis Khas pada 23 hingga 25 Februari 2022 yang menyasarkan lokasi rumah kosong terbiar, rumah tumpangan, pondok di ladang-ladang, yang disyaki digunakan sebagai tempat untuk aktiviti-aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendent Zulkifli Suhaili dalam sidang medianya pada Ahad berkata, seramai 21 orang telah ditahan dan diperiksa bagi menjalankan ujian saringan air kencing. 

“Daripada 21 orang yang ditahan dan diperiksa, seorang lelaki ditangkap kerana memiliki (0.6) gram dadah syabu, seorang lelaki ditangkap kerana memiliki pil psikotropik (Nospen) dan dua ditahan di bawah Sek. 6(1)(c) Akta Immigresen 195/63 kerana gagal tunjuk dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil daripada ujian saringan awal ke atas air kencing, kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis Ampethamine,” katanya. 

Jelas Superintendent Zulkifli lagi, bagi kesalahan memiliki dadah di bawah Sek. 12(2) ADB 1952, jika disabitkan kesalahan denda tidak lebih seratus ribu ringgit atau penjara tidak lebih 2 tahun dan kesalahan memiliki pil psikotropik di bawah Sek. 30(3) Akta Racun 1952, jika disabitkan kesalahan denda tidak lebih sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak lebih 4 bulan atau kedua-dua sekali. 

Manakala, bagi kesalahan di bawah Sek. 15(1)(a) ADB 1952 iaitu mengambil atau memasukkan dadah kedalam tubuh badan sendiri, jika disabitkan kesalahan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 bulan dan pengawasan 2 tahun.-EDISI UKAS

add comment