SELASA, 1 MAC 2022
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan langkah drastik bagi memperkasakan sosioekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, kementeriannya akan menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak akan melaksanakan langkah drastik bagi menarik lebih banyak FDI dan DDI bagi memperkasakan sosioekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Program Jum Regista Bisnes di Dewan Suarah Bintulu baru-baru ini.
Datuk Malcolm Mussen menambah, semua pihak terutama usahawan dan peniaga kecil-kecilan dan sederhana besar perlu mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif yang dilancarkan dalam usaha mentransformasikan industri perniagaan dan keusahawanan di negeri ini.
“Pelbagai pakej telah disuntik bagi membantu usahawan tempatan menghidupkan semula perniagaan mereka yang terjejas teruk selepas lebih dua tahun negara dilanda COVID-19.
“Antaranya ialah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) dan suntikan dana sebanyak RM4.42 juta buat 388 Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) yang berkemahiran teknikal dan vokasional dan terkini,
“Kerajaan Sarawak turut melaksanakan Program Go Digital Sarawak dengan jumlah bantuan RM1 juta kepada 100 usahawan untuk pembelian peralatan dan keperluan digital,”katanya lagi.
Beliau memberitahu, buat masa ini, 100 usahawan tersebut sedang dibimbing dan dipantau bagi memastikan mereka boleh menggunakan peralatan digital dengan efektif.
Sehubungan itu, katanya, kementerian mengambil inisiatif dengan mengadakan program Jum Regista ini bagi membantu setiap usahawan tempatan mendaftarkan perniagaan mereka supaya boleh menikmati bantuan sewajarnya dari kerajaan atau institusi kewangan berkaitan.
Setakat ini, seramai 1,500 usahawan telah berjaya dibantu melalui program Jum Regista di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS