Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Angkat Sumpah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Bagi Penggal Ketiga

SELASA, 1 MAC 2022

KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani suratcara sumpah jawatan di Dewan Lapau itu dimulakan dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi memulakan istiadat oleh Pendaftar Istiadat Datu Mustapa Han.

Selepas itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membaca suratcara pelantikan setelah diperkenankan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kemudian mengangkat sumpah dan menandatangani surat angkat sumpah bersaksikan oleh Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim.

Beliau kemudiannya menandatangani surat pengisytiharan disaksikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.

Untuk rekod, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac 2022.

Lantikan pertama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke jawatan tersebut adalah pada 1 Mac 2014, manakala lantikan kedua pula pada 1 Mac 2018.

Terdahulu, beliau menerima Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion ke-10, Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di pekarangan DUN.

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS

add comment