69 Peserta Pertanian Dari Kampung Jerijeh Ukir Senyuman, Terima Peralatan Dan Mesin Pemprosesan Makanan

RABU, 2 MAC 2022

BELAWAI: Seramai 69 peserta pertanian dari Kampung Jerijeh kini boleh mengukir senyuman selepas menerima peralatan dan mesin pemprosesan makanan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan  sebanyak RM450,000 bagi Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) secara berperingkat kepada 123 peserta dari kawasan Tanjung Manis.

Menurut beliau, ianya merupakan kesinambungan daripada program-program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019.

“Untuk rekod, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang telah menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi program pembangunan pertanian.

“Bantuan berkenaan dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan aktiviti pertanian di kawasan sekitar serta menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan input peralatan dan mesin pemprosesan makanan yang bernilai RM3,350 kepada 69 peserta dari Kampung Jerijeh sempena Majlis Penyerahan Input AFF Bagi Seksyen Agromakanan Pertanian Daerah Tanjung Manis pada Selasa.

Turut hadir ialah wakil Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Seah Han Bong serta Pegawai Pertanian Bahagian Mukah, Malissa Bonaventure Lutong. -EDISI UKAS

add comment