Pelaksanaan Projek Bekalan Air Kanowit Fasa 2 Beri Manfaat Kepada Penduduk Setempat

KHAMIS, 3 MAC 2022

SIBU: Penduduk di kawasan Kanowit, Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya bakal menikmati bekalan air terawat berkualiti secara berterusan susulan pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah program Projek Rakyat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, cadangan projek bekalan air Kanowit fasa 2 – saluran paip dari Loji Rawatan Air Salim (Lembaga Air Sibu ke Kanowit), Bahagian Sibu juga sedang dilaksanakan bagi mengurangkan isu bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek yang dijangka siap hujung tahun ini turut akan melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat, memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk yang terbabit,’’ katanya semasa melawat ke tapak projek tersebut pada Rabu.

Tambah beliau, projek ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dengan kos sekitar RM63.5 juta dan ianya dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

“Skop kerja bagi projek ini merangkumi pemasangan saluran paip air pelbagai saiz dari Loji Rawatan Air Salim ke kawasan Kanowit termasuk penyambungan saluran paip air ke sistem yang sedia ada di kawasan Sibu Jaya, stesen pam penggalak di Durin, dan pembinaan tangka air di Bukong Jagoi,’’ jelasnya lagi.

Sementara itu, Datuk Julaihi memberitahu bahawa JBALB Sarawak terus akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan bagi menjamin kualiti air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sibu.

“Semua projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,’’ katanya.

Turut hadir ke lawatan tersebut ialah Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Chang Kuet Shien. -Edisi UKAS

add comment