SABTU, 5 MAC 2022
KUCHING: Pemantapan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan masyarakat di negeri ini sentiasa berwaspada susulan peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini.
Menurut Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata berkata, rakyat di negeri ini tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab mereka dalam penjagaan SOP dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memainkan peranan mereka dalam melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa.
“PDRM sekarang telah membantu dalam mengekang penularan COVID-19 di negeri ini dan team-team pemantauan masih menjalankan pemantauan terutamanya terhadap masyarakat, patuhilah SOP untuk mengelakkan daripada jangkitan penularan wabak Omicron yang melanda pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Latihan Menembak Bersama Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak yang diadakan bermula 4 hingga 5 Mac bertempat di Lapang Sasar PDRM, Batu Kawah, Kuching pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N1 Opar, Billy Sujang turut menasihati rakyat di negeri ini agar tidak alpa dalam mematuhi SOP walaupun negeri ini telah beralih pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Walaupun kita berada pada tahap empat, namun berikutan peningkatan kes yang agak mendadak pentingnya masyarakat menjaga SOP seperti menggunakan pelitup muka, elakkan berada di tempat yang sesak serta gunakan ‘hand sanitizer’ di mana sahaja kita berada, jadi ini merupakan tindakan yang harus segera kita amalkan,” ujar beliau.
Turut senada, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin turut menyarankan kepada semua masyarakat segera membuat kuarantin kendiri sekiranya disahkan positif COVID-19.
“Saya berharap agar rakyat di negeri ini terutamanya, haruslah membuat saringan kendiri COVID-19 dan sekiranya didapati positif, segeralah membuat kuarantin kendiri supaya tidak berisiko menjangkiti orang yang terdekat,” kata beliau.
Turut hadir pada pada latihan menembak tersebut ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N13 Batu Kitang, Ir Lo Khere Chiang, Ketua Cawangan Khas Sarawak, YDH SAC Tuan Mohd Hairuddin Che Hamid dan Pegawai-Pegawai Kanan PDRM.-EDISI UKAS