SABTU, 5 MAC 2022
GEDONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyokong sepenuhnya program Sarawak X-TIVE 2022 yang telah dianjurkan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Katanya, dengan menganjurkan program seperti ini dapat mempupuk serta melahirkan masyarakat yang aktif bukan sahaja dari segi fizikal malah dari segi mental.
“Dengan aktiviti yang sihat maka kita dapat mencergaskan otak untuk membangunkan diri serta masyarakat untuk bersama-sama mencapai matlamat utama Kerajaan Sarawak bagi menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi.
“Oleh itu, anak Sarawak mestilah sihat,” katanya ketika berucap semasa merasmikan program Sarawak X-TIVE di Gedong pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau juga merakamkan tahniah kepada anak kelahiran Gedong, Ibnuqaldoon Mohamad Shukor di atas kejayaannya mewakili pasukan E-sports Malaysia dalam permainan ‘Tittle Free Fire’ di Sukan SEA yang akan berlangsung pada bulan Mei ini.
Selesai merasmikan Sarawak X-TIVE, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut melawat tapak aktiviti sukan di mana pelbagai acara sukan telah diadakan termasuklah aktiviti sukan indoor dan sukan tradisional.
Terdahulu sebelum hadir merasmikan Program tersebut,Premier Sarawak turut menyertai sukan berbasikal mengelilingi kampung gedong bersama-sama tetamu jemputan yang lain.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Nancy Shukri; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I (Pembangunan Belia dan Sukan), Dato Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan), Dr. Ripin Lamat; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, IR Aidel Lariwoo; mantan ADUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais dan Residen Bahagian Serian, Tuah Suni.-EDISI UKAS