Sarawak X-Tive Perlu Terus Dilaksana

SABTU, 5 MAC 2022

MIRI: Pelaksanaan program Sarawak X-Tive perlu terus dilaksanakan secara aktif.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, ia adalah penting bagi setiap lapisan masyarakat.

Ujarnya, ini sejajar keperluan Kerajaan Negeri yang memerlukan masyarakat yang sihat dan cergas di dalam mencapai Sarawak Maju menjelang 2030.

“Penglibatan agensi, persatuan belia dan sukan adalah penting sebagai rakan strategik sukan pihak Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk membantu menarik lebih ramai penyertaan masyarakat dalam bersukan.

“Penglibatan masyarakat mampu mencungkil kepelbagaian bakat sukan tempatan di peringkat akar umbi yang secara tidak langsung membantu menaikkan martabat sukan Sarawak di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa,” katanya dalam Majlis Pelanacaran Sarawak X-Tive peringkat Bahagian Miri di Stadium Bandaraya Miri pada Sabtu.

Sehubungan itu, Dato Sri Lee menyeru seluruh masyarakat di Bahagian Miri untuk mengadaptasikan serta mengambil pendekatan proaktif membudayakan amalan sukan di dalam kehidupan harian, keluarga serta masyarakat secara amnya.

“Saya percaya kerajaan berhasrat bukan sahaja menggalakkan budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama serta interaksi dalam aktiviti sukan yang mampu merapatkan hubungan dan perpaduan antara satu sama lain.”

Hadir sama, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang dan ADUN Telang Usan, Dennis Ngau.-EDISI UKAS

add comment