Kerajaan Negeri Sentiasa Memperkasa Golongan Wanita Menjadi Tonggak Pembangunan Negara

AHAD, 6 MAC 2022

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan sentiasa memperkasa golongan wanita bukan sahaja dari aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

Menurut Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, peranan wanita seharusnya tidak boleh diabaikan terutama sekali dalam melibatkan golongan ini untuk membangunkan semula negara yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

“Kerajaan telah mengiktiraf peranan wanita sebagai golongan yang boleh membantu untuk membangunkan semula negara khasnya menerusi program-program pemerkasaan wanita dan juga usaha untuk membela nasib mereka dalam mendepani situasi berkenaan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Wanita 2022 Sarawak Peringkat Daerah Samarahan, di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan pada Ahad.

Justeru, tema bagi sambutan Hari Wanita pada tahun ini adalah Saksama Bersama selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu ‘Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow’. 

Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

“Hari Wanita ini juga disambut di pelbagai peringkat malah ada yang adakan diperingkat NGO atau Pertubuhan Bukan Kerajaan, jadi ini menunjukkan kepada kita peranan golongan wanita amat dihargai oleh semua lapisan masyarakat dan juga golongan lelaki,” ujar beliau lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Samarahan, Tuan Haji Anuar Da’an, Pegawai Tadbir Residen Bahagian Samrahan, Puan Aszailila As-Obeng, Pegawai Kebajikan Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Haji Morsidi, Penghulu Kampung Muara Tuang, Penghulu Suut bin Man dan para penduduk di Kampung Muara Tuang.- EDISI UKAS

add comment