Penubuhan PSNS Akan Membantu Petani Di Sarawak

AHAD, 6 FEBRUARI 2022

KUCHING: Majlis Makan Malam Perasmian Pertubuhan Petani Dan Pekebun Sawit Negeri Sarawak (PSNS) telah diadakan di Hotel Imperial, Kuching Pada Ahad.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Negeri Sarawak, Martin Ben yang mewakili Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Negeri Sarawak, Dato Sri (Dr) Stephen Rundi Utom.

Menurut Dato Sri (Dr) Stephen Rundi dalam teks ucapan dibaca oleh Martin, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana PSNS telah banyak membantu para petani di negeri ini.

“Kementerian amat menggalakkan dan menyokong penubuhan persatuan dan pertubuhan seperti ini agar dapat bekerjasama dengan kementerian dan Jabatan Pertanian dalam usaha mendokong visi kerajaan untuk menjadi ‘Food Sufficient’ dan ‘Net Food Exporter’ menjelang 2030,” katanya.

Tambah beliau lagi, penubuhan PSNS juga berperanan membantu ahli dalam memastikan produk pertanian mereka seperti sayur, buah-buahan dan hasil hutan dipasarkan ke pasaran tempatan.

Selain itu katanya, ia dapat melindungi hak serta memelihara golongan petani dan penjaja hasil pertanian serta dapat menjalankan kerja-kerja amal untuk mencapai matlamat pertubuhan.

Sehubungan itu, Dato Sri (Dr) Stephen Rundi berharap agar PSNS dapat bergiat lebih aktif dan melibatkan lebih ramai petani dan pekebun dalam aktiviti mereka.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tarian Ngajat dan nyanyian. – EDISI UKAS

add comment