Pelatih OKU Akan Terus Diperkasakan Dengan Pelbagai Latihan Demi Hidup Sejahtera

ISNIN, 7 MAC 2022

MIRI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Komuniti kini memfokuskan kepada memperkasakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kita mahu golongan OKU ini dapat menikmati kehidupan yang baik dan sejahtera. 

“Salah satu daripada perkara yang kita fokuskan ialah memperkasakan OKU. Jadi, maknanya kita hendak OKU itu akhirnya dapat hidup dalam sejahtera dan hidup dalam keadaan yang bermaruah,” katanya semasa berucap ketika melawat Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM) pada Ahad. 

Jelas Dato Sri Fatimah lagi, ini termasuklah memberikan latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran OKU khususnya dalam aktiviti pertanian seperti hidrponik atau hidro-agroponik serta tanaman tradisional lain. 

Seramai 12 pelatih OKU menghuni di POKUFM yang merupakan sebuah persatuan yang berdaftar pada 11 November 2016. 

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada POKUFM bagi menjalankan aktiviti tahunan dan Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) telah memberikan sumbangan dua kerusi roda kepada pelatih di POKUFM. 

Selepas itu, Dato Sri Fatimah bersama rombongan telah ke Miri Golf Course bagi menyempurnakan penanaman anak pokok anjuran Jabatan Hutan Sarawak.

Seramai 50 orang peserta Hari Wanita dan 30 pegawai dari Jabatan Hutan Wilayah Miri serta staf Kelab Golf Miri menanam 350 pokok yang terdiri daripada 200 pokok Rhu, 100 pokok Bintangor Laut dan 50 pokok Bakau di kawasan tersebut sebagai sebahagian dari kempen ‘Greening Sarawak’ serta “100 juta Pokok Ditanam di Malaysia 2021 hingga 2025”. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Komuniti Mohamad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Norita Bawi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad, Pengerusi POKUFM Mazlan Daraman, Pegawai Hutan Wilayah Miri Asan Odau dan Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS).-EDISI UKAS

add comment